“TAK PAYAH CAKAPLAH KALAU SAYA MASIH MUDA”- RAJA LIBAS

Siapa tidak kenal dengan Adnan Saidin, bekas pemain sepak takraw negara pada zaman 70-an dan 80-an. Namanya bukan sekadar diingati berdasarkan pencapaiandaripada sumbangan pingat dan medal tetapi “libasan mautnya” kekal segar dalam memori peminat sepak takraw hingga ke hari ini. Libasan maut itulah membolehkan Adnan dijulang sebagai “Raja Libas” negara.

Adnan dianugerahkan gelaran Raja Sepak Takraw Asia pada tahun 1986 mengakui dirinyadan sukan sepak takraw tidak akan terpisah hingga ke hujungnya malahan sehingga kini masih aktif melibatkan diri dalam sukan itu bersama negeri kelahiran, Kedah.

Terbaru, Adnan dilantik sebagai pengurus skuad sepak takrawKedah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 yang berlangsung di Sarawak.

Ketika zaman kegemilangannya, dia pernah membawa Malaysia menjulang pingat emas dalam Sukan SEA dari tahun 1979 sehingga 1985. Ini sudah cukup membuktikan kita begitu digeruni pada waktu tersebut dan sudah tentu lagenda ini mahu melihat pentas kejayaan yang pernah dibawa pasukannya ketika zaman kegemilangan diukir semula oleh pemain generasi sekarang dan Sepak takraw League (STL) adalah medannya.

Adnan yang sudah berusia 59 tahun melihat STL adalah satu kejohanan terbaik untuk pemain pada era sekarang. Katanya, “Dulu zaman saya piala yang paling berprestij ialah Piala Emas Khir Johari. Semua pemain yang beraksi akan lakukan terbaik untuk menunjukkan kebolehan dalam kejohanan itu.Sekarang STL adalah kejohanan yang akan meningkatkan kembali populariti serta martabat sukan sepak takraw”.

Tambah lagenda itu lagi, dia mahu pemain sentiasa komited untuk tampil dengan aksi memberangsangkan. Kata Adnan, “Inilah masanya untuk pemain membuktikan kemampuan sebagai pemain sepak takraw sebenar dalam STL. Kita perlulah tunjukkan yang kita benar-benar mencapai standard pemain yang mampu menggalas cabaran negara”.

“Sebagai bekas pemain, saya rasa bangga dan bersemangat bila adanya kejohanan seperti ini. Tambah-tambah lagi ianya adalah satu medan untuk kita mendapat pengalaman bagi mewakili negara”.

Ketika ditanya andainya masih mampu beraksi dan berpeluang untuk melibas dalam STL, dengan penuh bersemangat “Raja Libas” itu berkata, “Tak payah cakaplah kalau sayamasih muda. Jiwa sebagai pemain memang sentiasa ada untuk saya melakukan libasan”.

Adnan turut menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur dalam mengangkat kembali populariti serta martabat sukan yang penuh bersejarah ini. Katanya, “Sebagai bekas pemain, saya berterima kasih kepada pihak penganjur iaitu Astro dan Asian Sports Ventures (ASV) kerana terus mengembangkan sukan sepak takraw. Ini adalah sesuatu yang sangat bagus untuk negara kita dan akan membantu untuk meningkatkan lagi taraf sepak takraw”.

Bakal berlangsung di Serdang, saingan Sepak takraw League (STL) 2016 akan memasuki edisi ketiga pada tahun ini dengan 8 pasukan akan berentap dalam format baru yang pastinya bakal berlangsung dengan lebih sengit. Pada edisi kedua lalu, AngkatanTentera Malaysia (ATM) muncul juara menewaskan Black Panthers dalam perlawanan akhir.

No Comments

Post A Comment