23 Mar Tiga venue jadi singgahan Angka Tour di hari pertama
Angka Tour anjuran Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada atlet kebangsaan disamping memupuk minat masyarakat terhadap sukan papan selaju memulakan tirainya hari ini dengan tiga lokasi menjadi “gelanggang” aksi mereka.
Kehadiran pemain papan selaju terkemuka dunia seperti Arto Saari, Jack Curtin, Davis Torgerson, Margie Didal, Tom Karangelov, dan Jasper Dohrs disamping atlet-atlet papan selaju kebangsaan membolehkan Angka Tour mendapat tumpuan peminat pelbagai usia dan jantina hadir menyertai mereka.
Lebih kurang seratus pemain papan selaju menyertai bengkel dan demonstrasi papan selaju di Mont Kiara Park pada sebelah pagi. Di sebelah petang pula, atlet kebangsaan dan pemain papan selaju profesional beraksi bersama-sama di Taman Cabaran Putrajaya sebelum ke satu lagi venue iaitu PJ Arena di sebelah malam.
Mengulas mengenai hari pertama program Angka Tour, legenda papan selaju profesional dari Finland, Arto Saari berkata, “Ini kali pertama saya berada di negara ini, park di sini juga tidak kurang hebatnya. Saya tidak mengetahui latar belakang mengenai atlet papan selaju di negara ini tetapi daripada apa yang saya lihat tadi, mereka mempunyai skill dan berpotensi tinggi.
“Sekarang sukan papan selaju ini sudah disenaraikan dalam sukan Olimpik dan bukan lagi sekadar satu sukan jalanan. Ia akan menjadi satu sukan yang mendapat tumpuan. Jadi, saya harap akan ada penambahbaikan fasiliti dan sebagainya dalam sukan ini supaya ianya terus membangun di seluruh dunia,”katanya.
Atlet kebangsaan, Zainul Mutaqien Bin Marzuki mengakui berasa puas dapat beraksi disamping pemain-pemain papan selaju profesioanal. Zainul berkata, “Tentang program hari ini terutamanya demonstrasi papan selaju, saya berasa sangat teruja kerana dapat beraksi disamping pemain papan selaju hebat dunia. Ianya adalah satu peluang keemasan untuk kami melihat skill mereka di depan mata selain mempelajari pelbagai teknik.
“Dapat lihat tadi, David Torgerson ada melakukan skill front side 180 nose grind dan back side 180 out. Ianya adalah skill yang begitu sukar dan saya tidak pernah nampak sesiapa melakukan teknik seperti itu di negara ini. Jadi, selepas melihatnya secara langsung dalam Angka Tour tadi, saya akan cuba mempelajari sentuhan tersebut untuk menajamkan lagi skill yang dimiliki.
Dalam pada itu, legenda pemain papan selaju negara, Johary Fitri Bin Khairuddin atau lebih dikenali sebagai Joe Ipoh yang berada di Angka Tour, Mont Kiara Skate Park berharap atlet negara akan melangkah lebih jauh dalam sukan ini.
“Kita boleh lihat apabila sukan papan selaju disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2020, sukan ini semakin mendapat sambutan malahan ibu bapa turut memberi sokongan. Kalau dahulu ianya sekadar di jalanan, tetapi kini banyak tempat yang mempunyai skate park. Saya harap pemain kita dapat pergi jauh sebagaimana negara Jepun ketika ini.
“Mengenai Angka Tour, ia adalah satu pendedahan yang cukup baik kepada atlet negara. Mereka dapat melihat teknik-teknik pemain papan selaju profesional beraksi. Saya harap lebih banyak demonstrasi, kejohanan, dan bengkel klinik untuk menarik lebih ramai masyarakat bagi menyertai sukan ini,”katanya yang turut membuka kedai menjual papan selaju di Mont Kiara Skate Park.
Lebih kurang enam puluh pemain selaju menyertai bengkel dan demonstrasi papan selaju di Mont Kiara Park. Pada sebelah petang pula, atlet kebangsaan dan pemain papan selaju profesional beraksi bersama-sama di Taman Cabaran Putrajaya sebelum ke PJ Arena di sebelah malam.
Esok (24 Mac), Angka Tour akan bergerak ke Mydin Meru, Ipoh dan kemuncaknya kembali di Dataran DBKL, Kuala Lumpur pada 25 Mac (Ahad) ini.
No Comments