28 Jan TNB LHM 2018: KLHC Terus Beri Tekanan
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), hari ini.
Dengan kemenangan itu, KLHC kini menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 17 mata, ketinggalan hanya satu mata di belakang THT ketika masih berbaki dua perlawanan lagi.
Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, UniKL mengejukan KLHC apabila di depan seawal minit ke-6 selepas Glenn Stewarts Turner melakukan tampanan cantik menewaskan penjaga gol Roslan Jamaluddin.
Bagaimanapun KLHC tetap tenang dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Harvinder Singh minit ke-15.
Bersambung separuh masa kedua, tonggak import dari Korea Selatan, Lee Nam Yong meletakkan KLHC di depan apabila tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-32.
Pakar pukulan sudut penalti KLHC, Jang Jonghyun mengukuhkan kedudukan pasukannya itu dengan menyumbang gol ketiga minit ke-45.
THT pula kekal menduduki tangga teratas liga selepas menewaskan Maybank 2-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat menjaringkan kedua-dua gol minit ke-35 dan 38 sementara gol tunggal Maybank disumbangkan oleh Mohamad Faid Farhard Mohamad Shah menerusi gol padang minit ke-15.
Sementara itu, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi muncul wira TNB (TNB) apabila meledak hatrik ketika membantu pasukannya membelasah TNB Thunderbolts 6-0 sekali gus terus mencerahkan peluang mereka untuk merebut kejuaraan liga.
“Nampaknya keyakinan dalam pasukan semakin tinggi kerana kami sememangnya masih berpeluang untuk memenangi liga.
“Saya harap rakan sepasukan dapat memberi tumpuan kepada baki dua perlawanan bertemu KLHC dan UniKL. Walaupun kami tidak menggunakan pemain import, tetapi ia bukanlah masalah yang besar apabila bertemu kedua-dua pasukan itu.
“Sudah pasti kami akan cuba beraksi sebaik mungkin dan mengelak daripada mencicirkan mata,” kata Nik.
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan TNB di depan seawal minit ke-2 menerusi pukulan sudut penalti.
Syarman Mat Tee menambah gol kedua minit ke-36 hasil jaringan padang sebelum Nik Aiman menjadikan kedudukan 3-0 minit ke-39, juga menerusi gol padang.
TNB terus garang dengan menambah tiga lagi gol menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook minit ke-40 dengan Nik Aiman mencetak hatrik dengan gol pada minit ke-54 dan pukulan sudut penalti minit ke-59.
Liga Hoki Malaysia
Liga Perdana
Keputusan hari ini
TNB 6 TNB Thunderbolts 0
UniKL 1 KLHC 3
THT 2 Maybank 1
Rabu
KLHC lwn TNB, 5 ptg
(Stadium Hoki Kuala Lumpur)
TNB Thunderbolts mln THT, 6 ptg
UniKL lwn Maybank, 8.30 mlm
(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)
No Comments