12 Jan TNB MHL 2018: KLHC Pertahan Piala Sumbangsih
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sekali lagi mengecewakan Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila menewaskan seteru utama mereka itu menerusi penalti shoot out 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada pertembungan untuk merebut Piala Sumbangsih, hari ini.
Berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, hasrat THT untuk menebus kekecewaan tewas kepada KLHC pada final Tan Sri P Alagendra minggu lalu nyata meleset apabila KLHC terus unggul untuk mempertahankan Piala Sumbangsih.
Meskipun mencatat kemenangan sekali gus meraih mata pertama di saingan liga, Ketua jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan tetap tidak berpuas hati dengan penampilan barisan pemainnya.
“Secara keseluruhan kita tak bermain dengan bagus sebab pemain tidak mengawal permainan daripada awal sebaliknya membiarkan lawan mengawal bola.
“Bagaimanapun di suku kedua kita dapat menjaringkan dua gol sekali gus memimpin perlawanan. Tapi akhirnya pemain tak dapat mengawal kelebihan jaringan itu dan biarkan THT kembali menyamakan kedudukan dua gol.
“Apapun ia tetap satu kemenangan yang bermakna sebab kami sekali lagi berjaya menewaskan THT,” katanya.
Jelas Chiow Chuan, barisan pemainnya perlu memperkemaskan rentak permainan mereka pada perlawanan seterusnya Ahad ini menentang TNB.
Pada perlawanan hari ini, tonggak import KLHC, Jang Jonghyun berjaya meletakkannya pasukannya di depan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-16.
Muhammad Hafizuddin Zaidi menjadikan kedudukan 2-0 sleepas menjaringkan gol padang m-24.Tersentak dengan dua jaringan awal itu, THT menggandakan asakan dan kali ini penyerang sensasi negara, Faizal Saari tidak mensia-siakan peluang merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti m-44.
Ketika KLHC diambang kemenangan, pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat menyamakan kedudukan untuk THT dua minit sebelum tamat perlawanan sekali gus mengheret perlawanan ke penalti shoot out yang kemudian memihak kepada KLHC.
Hadiah kemenangan RM10,000 yang dimenangi oleh KLHC disumbangkan kepada Fitri Saari untuk meringankan beban merawat anaknya, Muhammad Adam Zafran.
Wang itu adalah sumbangan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) serta barisan pemain kebangsaan.
Sementara itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, TNB Thunderbolts mengejutkan Maybank apabila mencatat kemenangan 2-1.
Wookey Oscar William meletakkan Maybank di depan seawal minit ke-8 menerusi penalti stroke tetapi Muhammad Arif Syafie Ishak berjaya menyamakan kedudukan untuk Thunderbolts hasil pukulan sudut penalti m-43.
Arif Sabron muncul wira Thunderbolts apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan hasil jaringan padang.
TNB pula mempamer semangat melawan apabila mencatat kemenangan 3-2 ke atas UniKL.
Liga Hoki Malaysia
Hari ini
Piala Sumbangsih
THT 2 KLHC 2
(KLHC menang penalti shoot out 5-4)
TNB Thunderbolts 2 Maybank 1
UniKL 2 TNB 3
No Comments