31 Oct TNB Piala Tun Abdul Razak 2018: Perak, Terengganu Kekal Rekod Tanpa Kalah
Perlawanan ketiga divisyen satu, TNB Piala Tun Abdul Razak 2018 yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan Perak dan Terengganu terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dengan Perak mencatatkan kemenangan kedua menewaskan Kuala Lumpur 3-2.
Terengganu pula dilihat terus menghimpit Perak untuk berkongsi tujuh mata apabila turut mencatatkan kemenangan kedua dan dibezakan dengan jumlah jaringan selepas Terengganu menewaskan Johor 3-1 manakala satu lagi aksi divisyen satu menyaksikan Melaka berjaya menewaskan Pulau Pinang 3-2.
Aksi sengit disajikan oleh Perak dan Kuala Lumpur seawal suku pertama apabila kedua-dua pasukan dilihat saling melakukan serangan mencari gol awal dan minit keempat Kuala Lumpur terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Muhamad Aminudin Mohd Zain.
Perak terus menggandakan asakan bagi mengikat kembali kedudukan dan hasilnya pada minit ke-14 kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima tidak dipersiakan apabila Hairul Nizam Ab Rani yang menjaringkan gol untuk kedudukan terikat 1-1.
Muhammad Haziq Samsul menggandakan kedudukan Perak pada minit ke-20 namun Kuala Lumpur tidak berputus asa dan terus mengejar pada minit ke-31 apabila Mohd Ramadan Rosli menjaringkan gol padang untuk Kuala Lumpur kembali mengikat kedudukan.
Bagaimanapun dua minit kemudian Perak berjaya untuk berada di hadapan selepas pemain muda mereka, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol ketiga yang juga merupakan jaringan kemenangan buat Perak.
Sementara dalam aksi divisyen dua yang berlangsung Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan tempat mereka di pentas final apabila mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut hari ini menewaskan pesaing rapat, Pahang 1-0 sekaligus mengutip 12 mata penuh.
Jaringan tunggal kapten PDRM, Baljit Singh Sarjab Singh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-47 cukup untuk bawa PDRM ke final dan kapten Baljit Singh menegaskan pasukannya mengambil peluang yang dimiliki dengan sebaiknya untuk menjaringkan gol bagi memastikan mereka melangkah ke pentas akhir.
“Kami tidak menjangkan kami akan mencatatkan kemenangan ke atas Pahang kerana Pahang dibarisi oleh pemain muda yang beraksi pada SUKMA 2018 serta mempunyai kemahiran yang cukup baik tetapi perlawanan hari ini penjaga gol kami juga memainkan peranan penting apabila menyelamatkan banyak percubaan Pahang.
“Selain itu perlawanan tadi juga kami cuba untuk bermain dengan disiplin yang cukup tinggi dan kelebihan satu pukulan sudut penalti kami manafaatkan dengan sebaik mungkin dan hasilnya kami berjaya mendapat gol yang cukup bermakna untuk pasukan.
“Sebagai kapten saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini dan saya mahu memastikan PDRM akan kembali beraksi di divisyen satu semula tahun hadapan,” jelas Baljit ketika ditemui.
Dua lagi pertembungan di divisyen dua yang berlangsung hari ini menyaksikan ATM berjaya menewaskan Singapura 3-1 sementara Selangor berjaya memastikan tiga mata milik mereka untuk perlawanan keempat apabila menewaskan Kelantan 3-2.
Terdahulu berlangsung aksi terakhir peringkat kumpulan A bagi kategori wanita awal pagi tadi yang memperlihatkan Melaka tunduk 0-3 kepada Kuala Lumpur dan PDRM membelasah Singapura 5-0.
No Comments