TNB Piala Tun Abdul Razak 2018: Selangor Puas Hati Kutip Satu Mata

Saingan hari pertama divisyen dua kategori lelaki TNB Piala Tun Abdul Razak 2018 menyaksikan finalist tahun lalu, Selangor terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Selain itu keputusan hari menyaksikan Pahang gah mengutip tiga mata apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan mereka Singapura 6-0 sementara satu lagi aksi yang menemukan Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkesudahan dengan PDRM cemerlang menundukkan Kelantan 6-2 dan Baljit Singh Sarjab Singh muncul penjaring hatrik ketika PDRM menewaskan Kelantan.

Dalam pertemuan antara ATM dan Selangor, ATM terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan pada minit keenam apabila Kpl U Muhammad Khairul Adha Ilyas menjaringkan gol menerusi gerakan padang bagaimanapun sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Selangor bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Haikal Zamri pada minit ke-26.

Bersambung suku ketiga, Selangor menggandakan jaringan pada minit ke-43 menerusi jaringan padang Faridzul Afiq Mohd namun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila beberapa saat sebelum suku ketiga berakhir ATM mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Lk I Mohd Firdaus Ismail sekaligus menyaksikan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Bagi pengendali Selangor, Mohd Harfizi Baharom, dia tetap berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pemainnya kerana mereka berjaya untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata namun menyifatkan kecuaian pemainnya ketika berusaha mendapatkan jaringan ketiga menyebabkan ATM berjaya mengikat kedudukan.

“Saya berpuas hati dengan keputusan perlawanan kerana walaupun seri 2-2 tetapi sekurang-kurangnya kami tidak pulang dengan tangan kosong.

“Perlawanan hari ini apa yang saya lihat keghairahan pemain ketika mahu mencari jaringan ketiga menyebabkan mereka sedikit cuai dan ATM bijak menggunakan kesempatan untuk menjaringkan gol penyamaan,” jelasnya.

Sementara itu pada aksi kategori wanita yang berlangsung awal pagi tadi menyaksikan Selangor, Pahang, Melaka dan ATM masing-masing cemerlang mengutip tiga mata.

Tiga mata pasukan Selangor yang juga merupakan juara bertahan disumbangkan oleh jaringan tunggal Nor Hidayah Ahmad Bohari menerusi jaringan padang pada minit ke-11.

Selain itu Melaka meneawskan Singapura 2-0, ATM menundukan Pulau Pinang 2-0 dan Pahang mengecewakan Terengganu 2-0.

No Comments

Post A Comment