22 Oct Trofi Juara-Juara Asia 2018: Kemenangan Kedua Dicatat Malaysian Tigers
Pertemuan dengan tuan rumah, Oman pada perlawanan kedua pusingan round robin Trofi Juara-Juara Asia 2018 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos Muscat Oman pada hari ini menyaksikan skuad negara terus cemerlang mencatatkan kemenangan 3-1.
Selepas dua perlawanan, Malaysia telah mengumpul enam mata dengan menjaringkan enam gol sementara bolos satu akan berehat sehari sebelum turun untuk aksi ketiga round robin pada Isnin jam 10.55 malam waktu Malaysia bertemu Korea Selatan.
Malaysian Tigers dilihat mengalami kesukaran untuk melakukan percubaan tepat apabila Oman lebih gemar untuk bermain di dalam kawasan mereka sendiri dan usaha untuk mengatur serangan pada minit ke-17 menerusi larian solo Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang berjaya memasuki kawasan gol lawan buntu selepas hantaran Syed Syafiq untuk mencari rakan sepasukan di tengah pintu gol tidak berjaya apabila tolakan tersebut disekat oleh pertahanan Oman.
Minit ke-21 Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama namun flik terus Faizal Saari diselamatkan pertahanan Oman dan tindakan susulan Norsyafiq Sumantri menghadiahkan pukulan sudut penalti kedua negara namun kelebihan kedua yang dimiliki juga tidak dapat disudahkan dengan sempurna.
Jaringan yang dinantikan oleh kem negara akhirnya muncul pada minit ke-26 apabila bantuan yang diberikan oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil kepada Muhammad Firhan Ashari selepas tolakan Firhan mencari Tengku Tajuddin cuba diselamatkan oleh pertahanan Oman namun tindakan Tengku Tajuddin yang pantas menolak semula bola kepada Firhan menyaksikan dia berjaya menewaskan penjaga gol Oman, Fahad Al Noufali.
Empat minit selepas aksi suku ketiga bersambung, berlaku kesilapan di dalam kawasan gol Malaysia yang menyaksikan Oman dihadiahkan dengan pukulan stroke dan kelebihan tersebut digunakan oleh Rashad Al Fazari untuk kembali mengikat kedudukan 1-1.
Skuad negara berjaya untuk mengatur gerakan bagi mencari jaringan apabila hantaran Faiz Helmi Jali berjaya menemui Faizal Saari namun pukulan Faizal diselamatkan oleh penjaga gol Oman.
Bagaimanapun seminit selepas suku keempat bermula, Tengku Taajuddin yang melihat peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan selepas menerima hantaran rakan sepasukan melakukan satu pukulan kilas dan sekali lagi Fahad Al Noufali tertewas untuk kedudukan berubah 2-1 berpihak skuad negara.
Dua minit kemudian Malaysia yang dihadiahakn dengan pukulan percuma di luar kawasan gol bijak mengatur satu set-pieces apabila bola hantaran Muhammad Marhan Jalil disambut cemerlang oleh Syed Syafiq untuk melakukan tolakkan kepada Faizal Saari dan Faizal memastikan Malaysia terus dihadapan dengan jaringan ketiga.
Tiga minit sebelum masa perlawanan berakhir, Faizal Saari melakukan percubaan dari tengah pintu gol lawan namun bola pukulannya terkena pertahanan lawan dan seminit kemudian giliran Oman melakukan percubaan namun percubaan tersebut tidak tepat dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
No Comments