Trofi Juara-Juara Asia 2018: Korea Selatan Gagal Sekat Malaysian Tigers

Impian Korea Selatan untuk menyekat Malaysian Tigers daripada terus mengutip tiga mata dalam pusingan round robin tidak berkesampaian apabila skuad bimbingan Roelant Oltmans cemerlang memastikan kemenangan ketiga berturut-turut di Trofi Juara-Juara Asia 2018 Muscat Oman dengan Korea Selatan tunduk 4-2 kepada skuad negara dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, hari ini.

Selepas cemerlang mengumpul sembilan mata, skuad negara telah menjaringkan 10 gol sementara bolos 3 berada di kedudukan kedua di belakang India yang dibezakan dengan jumlah jaringan dan Faizal Saari kini mendahului carta penjaring terbanyak skuad negara dengan empat gol, diikuti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dengan tiga gol dan Muhammad Firhan Ashari, dua gol.

Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas Norsyafiq Sumantri yang berada di sebelah kanan pintu gol lawan menghantar bola kepada Joel Van Huizen untuk Joel melakukan satu biasan bola kepada Firhan Ashari yang berada di hadapan pintu gol lawan dan Firhan bijak untuk melakukan penyudahan dan meledak gol pertama negara.

Beberapa saat sebelum suku pertama berakhir, Korea Selatan mendapat kelebihan pukulan sudut penalti selepas bola yang ditolak masuk ke dalam kawasan gol Malaysia terkena kaki salah seorang pemain negara dan Yang Jihun melakukan flik terus ke sebelah kiri pintu gol negara untuk mengikat kembali kedudukan 1-1.

Minit ke-20, Korea Selatan sekali lagi memiliki kelebihan pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Jang Jonghyun untuk melakukan flik terus bahagian bawah untuk Korea berada di hadapan 2-1 selepas Jang menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hairi Abd Rahman.

Bagaimanapun dua minit kemudian Muhammad Shahril Saabah kembali mengikat kedudukan 2-2 selepas bijak membaca bola hantaran Firhan Ashari dan Shahril melakukan satu tolakan di sebelah atas pintu gol Korea untuk Malaysia kembali mengimbangi perlawanan.

Beberapa saat sebelum tamat aksi separuh masa pertama, skuad negara cuba untuk mengatur satu serangan pantas bagi mendapatkan jaringan untuk selesa menuju ke bilik persalinan namun percubaan yang diatur tidak berjaya disudahkan dengan sempurna dan kedudukan 2-2 kekal menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua pada minit ke-35, walaupun mempunyai ruang yang sempit, pemain berpengalaman negara, Tengku Ahmad Tajuddin bijak untuk menyambut hantaran Syafiq Sumantri dan menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk menjaringkan gol ketiga negara.

Korea Selatan sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-52 namun flik yang dilakukan terkena kaki pemain negara dan Korea mendapat pukulan sudut penalti keempat tetapi sekali lagi flik yang dilakukan terkena pemain negara untuk Korea mendapat pukulan sudut penalti kelima namun mereka gagal untuk menggunakan kelebihan yang dimiliki untuk mengikat kedudukan.

Dua minit kemudian, giliran skuad negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama namun skuad negara juga buntu untuk menyudahkan kelebihan tersebut. Bagaimanapun Malaysia hampir mendapat jaringan keempat namun percubaan Shahril Saabah daripada kanan pintu gol lawan terkena tiang dan Malaysian Tigers terlepas peluang untuk terus menjarakkan kedudukan.

Minit ke-57 jaringan yang dicari oleh skuad negara untuk terus selesa berada di hadapan akhirnya tiba apabila Syafiq Sumantri bijak untuk mengawal bola dan melorongkan bola tersebut untuk Faizal Saari melakukan penyudahan yang menyaksikan Malaysia dihadapan 4-2.

Kedudukan 4-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan skuad negara akan turun untuk aksi keempat yang pastinya lebih mencabar di mana mereka akan membuat perhitungan dengan India pada jam 1.10 pagi esok (Rabu).

No Comments

Post A Comment