Trofi Juara-Juara Asia 2018: Malaysia Kutip Tiga Mata Pertama

Malaysian Tigers berjaya untuk memastikan perlawanan pembukaan Trofi Juara-Juara Asia 2018 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos Muscat Oman hari ini disudahkan dengan cemerlang apabila menewaskan lawan mereka Jepun, 3-0 pada aksi pusingan round robin.

Tiga mata pertama yang dikumpul pastinya menjadi tonik semangat terbaik untuk skuad negara yang akan turun untuk aksi kedua bertemu tuan rumah, Oman pada Sabtu jam 1.10 pagi waktu Malaysia dan walaupun Jepun dilihat sekali sekala menampilkan aksi merbahaya di kawasan negara, pujian harus diberikan kepada corak bertahan Malaysia yang cemerlang menyekat Jepun daripada membolosi gawang negara.

Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama seawal minit ketiga dan kelebihan tersebut tidak dipersiakan oleh Faizal Saari yang melakukan flik terus menewaskan penjaga gol Jepun, Yusuke Takano untuk Malaysia terlebih dahulu dihadapan.

Minit kesembilan, Malaysia sekali lagi diberikan pukulan sudut penalti dan kali ini Muhammad Shahril Saabah memikul tanggungjawab untuk melakukan flik namun percubaannya berjaya diselamatkan tetapi tindakan susulan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dari hadapan pintu gol apabila melakukan sentuhan terhadap bola tersebut menghasilkan jaringan kedua negara.

Minit ke-27, giliran pintu gawang negara diuji apabila Jepun dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama mereka dan percubaan untuk mengejar kedudukan skuad negara tidak kesampaian apabila banteng pertahanan negara bijak mematahkan usaha lawan mereka.

Di penghujung babak separuh masa pertama, Jepun sekali lagi memiliki kelebihan pukulan sudut penalti tetapi percubaan tersebut diselamatkan penjaga gol negara, Muhammad Hairi Abd Rahman dan kedudukan 2-0 kekal menutup aksi separuh masa pertama.

Aksi di suku ketiga memperlihatkan Jepun cuba untuk terus menekan pertahanan negara dengan beberapa percubaan untuk mendapatkan jaringan padang tetapi usaha Jepun tidak membuahkan hasil apabila penjaga gol negara bijak menyelamatkan keadaan selain kesilapan Jepun sendiri dalam melakukan penyudahan.

Skuad negara juga dilihat sering kali cuba untuk menyerang pintu gawang Jepun bagi menambah jaringan tetapi usaha skuad negara disekat oleh pertahanan Jepun yang mengekori ketat pemain negara untuk menyukarkan pergerakan mereka.

Minit ke-46 skuad negara mendapat pukulan sudut penalti ketiga namun sayangnya set-pieces yang cuba direncanakan oleh pemain negara menerusi flik Shahril Saabah untuk mencari Meor Muhamad Azuan Hassan dapat disekat oleh perlari pertama Jepun.

Kekasaran yang dilakukan oleh pemain Jepun, Riku Tamura terhadap Faizal Saari di dalam kawasan gol Jepun menghukum mereka apabila Malaysia dihadiahkan dengan pukulan stroke pada minit ke-51 dan Faizal Saari tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan pukulan tersebut dan Malaysia terus kekal dihadapan dengan 3-0.

Beberapa saat sebelum perlawanan tamat, Malaysia dilihat menggandakan asakan untuk cuba menambah jaringan tetapi strategi pemain Jepun yang berkampung di tempat sendiri menyukarkan skuad negara untuk menghasilkan jaringan dan kedudukan 3-0 kekal menutup aksi pertama skuad negara.

No Comments

Post A Comment