29 Oct Trofi Juara-Juara Asia 2018: Tempat Ketiga Milik Malaysian Tigers
Skuad hoki lelaki negara berjaya memastikan kedudukan ketiga menjadi milik mereka selepas menewaskan Jepun 3-2 dalam aksi penentuan shoot-out apabila perlawanan sebenar Trofi Juara-Juara Asia 2018 Muscat Oman berkesudahan dengan seri 2-2.
Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos hari ini menyaksikan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Norsyafiq Sumantri dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil cemerlang dalam melunaskan shoot-out selain ketangkasan penjaga gol negara Muhammad Hairi Abd Rahman menidakkan tiga pukulan shoot-out Jepun untuk Malaysia muncul pemenang dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Jepun membuka tirai jaringan terlebih dahulu pada minit ke-18 menerusi satu serangan balas yang diatur apabila bola hantaran Seren Tanaka mencari Kenji Kitazato menyaksikan Kenji Kitazato berjaya melakukan satu rembatan deras menewaskan Hairi Rahman untuk Jepun berada dihadapan seketika.
Bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Malaysian Tigers bangkit mengikat kedudukan menjadi 1-1 selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minit ke-20 berjaya diterjemahkan dengan sempurna oleh Faizal Saari yang melakukan flik terus mencari sudut kiri pintu gol Jepun untuk melakukan jaringan.
Jepun hampir mendapat jaringan kedua pada minit ke-23 selepas satu serangan balas yang dilakukan memaksa Hairi Rahman untuk keluar daripada posisinya tetapi tindakan cemerlang Muhammad Marhan Jalil yang berada di hadapan pintu gol negara dan melakukan satu tampanan menyelamatkan percubaan Jepun.
Empat minit selepas aksi suku ketiga bersambung gerakan pantas Meor Muhamad Azuan Hassan menghalang tindakan susulan yang cuba dilakukan oleh Koji Yamasaki selepas Koji gagal menyambut sempurna bola hantaran Hirotaka Wakuri menyaksikan Jepun gagal untuk menambah jaringan.
Minit ke-36 Jepun sekali lagi memiliki peluang untuk cuba berada di hadapan selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti tetapi flik terus yang dilakukan Jepun menuju tepat ke kapten negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang berada di sebelah kiri gawang gol untuk Sukri menyelamatkan pintu gol negara daripada dibolosi.
Disebalik Jepun ghairah untuk mencari jaringan, Malaysian Tigers berjaya mendapatkan gol kedua apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang berjaya melepasi dua pemain Jepun melorongkan bola kepada Faizal Saari untuk Faizal melakukan penyudahan meletak skuad negara dihadapan.
Namun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila seminit kemudian Jepun menjaringkan gol penyamaan menerusi hantaran bola Riku Tamura berjaya menemui Hirotaka Wakuri untuk Hirotaka mengikat kembali kedudukan 2-2.
Malaysia dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-54 namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Jepun dan kedudukan 2-2 kekal mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.
Mengimbas kembali pencapaian skuad negara bagi edisi 2018, di pusingan round robin Malaysian Tigers mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan satu tewas sebelum tewas pada aksi separuh akhir yang mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out dan cemerlang mendapatkan kemenangan pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat yang juga diheret sehingga ke penentuan shoot-out.
Pemain negara dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Selasa, 30 Oktober 2018 jam 8.30 pagi di KLIA.
No Comments