26 Oct Trofi Juara-Juara Asia: Malaysia Tewas 0-1 Kepada Pakistan
Perlawanan terakhir peringkat round robin di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2018 yang menemukan Malaysian Tigers dengan Pakistan menyaksikan rekod tanpa kalah skuad negara tercalar apabila tewas tipis 0-1 kepada lawan mereka dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos Muscat Oman.
Malaysia dan Pakistan berkongsi 10 mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan yang menyaksikan skuad negara mengakhiri pusingan round robin di kedudukan ketiga selain bakal bertemu Pakistan yang berada di tempat kedua sekali lagi dalam aksi separuh akhir Sabtu ini.
Malaysia hampir menjaringkan gol pada minit kesembilan apabila kesilapan penjaga gol Pakistan Imran Butt ketika menendang bola keluar daripada kawasan bahaya menyaksikan bola tersebut jatuh di hadapan Muhammad Marhan Jalil tetapi sayangnya tindakan susulan Marhan menuju tepat ke badan Imran dan Malaysia terlepas peluang menjaringkan gol awal.
Seminit sebelum berakhir suku kedua, Pakistan hampir memecah kebuntuan jaringan menerusi gerakan Ali Shan daripada kanan pintu gol negara mencari Ajaz Ahmad namun tindakan Ajaz yang sedikit lewat menyaksikan pintu gol negara terselamat dan aksi separuh masa pertama berkesudahan dengan tanpa sebarang jaringan.
Minit ke-35, Pakistan sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun hantaran Ali Shan daripada kiri pintu gol negara gagal untuk dibaca oleh dua rakan sepasukannya yang berada di posisi terbaik untuk menghasilkan jaringan.
Bagaimanapun seminit kemudian pasukan negara memiliki peluang terbaik untuk melakukan percubaan hasil hantaran bola Nabil Fiqri Mohd Noor kepada Norsyafiq Sumantri dan Norsyafiq berada dalam situasi satu lawan satu bersama penjaga gol Pakistan namun tindakan Imran Butt yang keluar lebih awal menutup ruang Norsyafiq untuk melakukan percubaan menyaksikan Malaysia sekali lagi terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan pertama.
Dua minit sebelum tamat suku ketiga tindakan cemerlang Hairi Rahman menyelamatkan percubaan Ajaz Ahmad menyaksikan skuad negara cuba untuk melakuakan serangan balas namun penjaga gol Pakistan juga berjaya menyelamatkan tolakan Faizal Saari untuk mencari Muhammad Shahril Saabah.
Pakistan memiliki pukulan sudut penalti pada minit ke-47 namun flik terus yang dilakukan berjaya diselamatkan oleh Hairi Rahman dan tindakan serangan balas yang cuba dilakukan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dipatahkan oleh pemain Pakistan.
Minit ke-54 Pakistan akhirnya memecah kebuntuan jaringan apabila Muhammad Irfan Jr yang berada di belakang Hairi Rahman dan tidak dikawal menyambut hantaran bola daripada Ajaz Ahmad serta menolak masuk bola tersebut untuk Pakistan berada di hadapan 1-0.
Skuad negara cuba untuk bangkit mengejar Pakistan namun kebangkitan yang ditunjukkan tidak cukup untuk mengikat lawan dan perlawanan berkesudahan dengan skuad negara tewas 0-1.
Malaysia akan turun untuk membuat perhitungan dengan Pakistan sekali lagi pada Sabtu jam 10.55 malam waktu Malaysia untuk pertembungan separuh akhir.
No Comments