VENICE: “Kelajuan Adalah Aset Bernilai yang Dimiliki Saya

DI dalam keghairahan pemain dan peminat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia selepas 46 tahun, tiada pemain yang lebih gembira menantikan detik penentuan bersejarah itu Sabtu ini selain pemain sayap, Venice Elphi Danny Kaya.

Venice yang memiliki pangkat ‘Korporal’ (dua calit) adalah antara 6 pemain ATM yang turut menabur bakti bersama anggota bersenjata itu.

Menariknya, Venice, pemain kelahiran Kuching yang meraikan hari jadinya ke-28 dua hari sebelum perlawanan getir menentang Lions XII, itu mula menceburi bola sepak secara serius ketika mula menyertai Tentera pada 2005.

“Saya mula menyertai Tentera pada 2005 tetapi bakat saya mula dikesan pada 2007 dan seterusnya diserapkan dalam skuad Liga Perdana ATM pada hujung 2008. Sebelum itu saya bermain bola sepak secara suka-suka saja.

“Dalam Tentera, saya diletakkan di bahagian teknikal. Fungsi bahagian teknikal ini adalah untuk mengendalikan operasi, workshop dan wiring,” katanya yang berpengkalan di Kem Sungai Besi.
Pemain dari suku kaum Iban Bidayuh itu dianggap sebagai ‘senjata sulit’ ATM dengan kemasukannya sebagai pemain gantian impak pada separuh masa kedua separuh akhir kedua tempoh hari mencetuskan huru hara dalam kalangan pertahanan Lions XII.

Kelajuan dan kelicikannya dari sayap kiri sukar dibendung dengan salah satu lariannya hampir membuahkan hasil namun Bruno Sebastian Martelotto gagal memanfaatkan hantaran lintangnya.
Jelas, kelajuannya menjadi sandaran utama Sathia untuk menembusi pertahanan kental Kelantan Sabtu ini dengan gaya permainan Venice mengingatkan kepada ‘raja pecut’, Affendi Julaihi dan adik beradik Sari – Ramos dan Ramles – yang pernah mewarnai bola sepak Sarawak satu ketika dulu.
“Sememangnya kelajuan adalah aset bernilai yang dimiliki. Saya tidak kisah sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau sebagai pemain gantian, asalkan saya dapat membantu ATM meraih gelaran Piala Malaysia,” katanya yang mengidamkan jaringan sulung kempen Piala Malaysia pada final nanti.

No Comments

Post A Comment