25 Oct YOUNG TIGERS DIRATAH AUSTRALIA
Skuad bawah 21 Tahun Kebangsaan kendalian I Vikneswaran tumpas 3-9 kepada Australia dalam aksi kelima Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Taman Daya pada Jumaat.
Kekalahan ini adalah antara kekalahan terbesar skuad negara di sejarah saingan SOJC dan Vikneswaran akui barisan pemainnya gugup berdepan lawan berkelas dunia seperti Australia.
“Para pemain memang seperti sedikit tergamam berdepan Australia, beberapa gol yang dibolosi sebenarnya boleh dielakkan kerana ia adalah gol mudah buat lawan.
“Perlawanan hari ini juga saya memberi peluang buat Khairul Amirin turun sebagai penjaga gol utama kerana jika tidak, bila lagi dia dapat meraih pengalaman penting sebelum beraksi di saingan Piala Asia Remaja pada hujung November depan.
“Saya memang menjangka Australia tampil agresif berdepan kami walaupun mereka tidak memulakan saingan SOJC kali ini dengan baik. Jadi para pemain kita perlu belajar bagaimana bermain berdepan lawan seperti mereka,” kata Vikneswaran ketika sidang media pasca perlawanan pada Jumaat.
Suku pertama menyaksikan Australia membolosi gawang skuad negara sebanyak dua kali dalam tiga minit pertama menerusi jaringan padang Liam Henderson minit kedua dan pukulan sudut penalti Dylan Downey minit ketiga.
Dua lagi gol Australia muncul di suku pertama menerusi pukulan sudut penalty Ian Grobbelaar minit ketujuh dan jaringan padang oleh Jesse Absolom untuk membolehkan pasukannya selesa mendahului 4-0 tamat 15 minit pertama.
Malaysia kemudian merapat jurang gol menerusi jaringan padang Muhammad Danish Danial minit 24 selepas berlaku kekalutan dalam Kawasan D Australia dan benteng lawan gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.
Gol tersebut meningkatkan moral para pemain negara dan hasilnya, jaringan kedua berjaya diraih menerusi jaringan pukulan sudut penalty Aziudin Kamarudin minir ke-29.
Australia kemudian kembali merobek gawang barisan negara dan kali ini menerusi jaringan paadang kapten pasukan, Toby Mallon minit 33 dan Daykin Stanger minit 37 untuk pelawat mendahului 6-2.
Barisan muda negara kemudian kembali merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Harris Osman minit 50 namun, Henderson meraih gol keduanya buat Australia menerusi pukulan penalty strok minit 53 untuk pasukannya mendahului 7-3.
Selang dua minit, Patrick Andrew melengkapkan duka skuad negara dengan jaringan padang untuk gol kelapan Australia sebelum Lucas Toonen meledak gol kesembilan pada minit akhir perlawanan.
Kemenangan besar ini membolehkan Australia mara ke pentas final pada Sabtu berdepan Great Britain, New Zealand berdepan India untuk aksi penentuan tempat ketiga-keempat dan Malaysia berdepan Jepun untuk aksi penentuan tempat kelima-keenam.
Dalam aksi terdahulu pada Jumaat, New Zealand seri 3-3 dengan India dan Great Britain menewaskan Jepun 3-1.
No Comments