13 May KHM Tangguh Sesi Temuduga Calon Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan
KUALA LUMPUR (13 MEI) : Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini telah mengadakan mesyuarat kali ketiga di mana mesyuarat yang dilangsungkan menerusi aplikasi atas talian itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Dato’ Sri Subahan Kamal dan beberapa kata sepakat telah berjaya dicapai dalam mesyuarat tersebut.
Perbincangan yang berlangsung hari ini telah menerima maklum balas daripada En. Jadadish Chandra yang dipertanggungjawabkan selaku Pengerusi Sesi Temuduga bagi menjalankan sesi temuduga bersama calon Ketua Jurulatih Skuad Hoki Wanita Kebangsaan. Menerusi maklum balas tersebut, satu keputusan telah dipersetujui iaitu untuk menangguhkan sesi temuduga calon daripada luar negara sehingga situasi wabak Covid-19 dunia beransur pulih.
“Kami telah menerima maklumat daripada En. Jadadish dan jawatankuasa telah memutuskan bahawa sesi temuduga bersama calon jurulatih antarabangsa secara atas talian akan ditangguhkan sehingga situasi wabak Covid-19 dunia beransur pulih.
“Dalam pada itu, jawatankuasa juga dengan sebulat suara bersetuju untuk menyerap bekas Kapten Wanita Kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani sebagai Jurulatih Pelatih KHM.
“Kami akan memastikan beliau bersedia secukupnya termasuk menghantar beliau mengikuti Kursus Kejurulatihan dan akan memutuskan di mana posisinya selepas itu,” jelas Dato Sri Subahan Kamal selepas tamat mesyuarat tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, Dato Sri Subahan turut memaklumkan satu Kursus Kejurulatihan Level 1 secara dalam talian yang melibatkan Persatuan Hoki Negeri serta organisasi yang berkaitan akan bermula selewat-lewatnya Julai ini dan ianya akan berterusan pada setiap bulan.
“Tanggungjawab untuk mengendalikan Kursus Kejurulatihan ini telah diberikan kepada En. V. Sasidharan selaku Ketua Cawangan Pendidikan Kejurulatihan di bawah Jawatankuasa Kejurulatihan KHM. Satu makluman pemberitahuan akan dihantar kepada Persatuan Negeri serta organisasi tersebut mengenai takwim Kursus Kejurulatihan itu.
“Kami juga akan memulakan Siri Hoki Webinar sebagai landasan untuk membincangkan pelbagai isu penting seperti kejurulatihan, teknikal serta kepengadilan,”tambahnya lagi.
Dalam mesyuarat hari ini juga, maklumat terperinci mengenai Pasukan Kebangsaan Lelaki, Pasukan Remaja Lelaki dan Wanita telah dibentangkan oleh semua jurulatih yang berkenaan.
Selain itu, mesyuarat turut memberikan fokus bagaimana usaha bagi membentuk kerjasama yang lebih erat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjalinkan satu usahasama bagi mendidik lebih ramai guru-guru sekolah agar mereka mempunyai sijil kejurulatihan hoki yang diiktiraf KHM.
No Comments