25 Nov Bertindaklah segera demi Malaysia
Kita kini berada di penghujung tahun 2020. Sudah tiba masa untuk MSN, KBS dan persatuan-persatuan sukan yang lain berbincang untuk mengadakan pertandingan bagi sukan masing-masing. Sampai bila atlit hanya sekadar menjalani latihan, sparring sesama sendiri tanpa perlu beraksi dengan lebih kompetitif.
Mahu tak mahu, kita perlu terima hakikat bahawa COVID-19 berada di dalam komuniti. Kita cuma perlu patuh kepada SOP dan amalkan kebersihan diri. Malah DG Tan Sri Hisham juga mengakui virus tersebut sudah berada di dalam komuniti dan perlu hidup bersamanya.
Sampai bila kita mahu berada di dalam denial situation dengan izin. Industri sukan perlu bergerak ke hadapan. Negara-negara lain telah mula menghidupkan kembali industri sukan mereka. Jumlah kes yang menular ketika ini memang nampak membimbangkan.
Tetapi jumlah tersebut disumbang oleh mereka yang tidak patuh kepada SOP.
Jumlah 2,188 kes yang dicatatkan itu sekiranya ditolak dengan jumlah kes Kluster Teratai (1,511) hanyalah sekitar 677 kes sahaja. Ini berlaku akibat tidak patuh kepada SOP. Tidak perlu saya sentuh tentang punca penularan gelombang ketiga ini.
Berbeza dengan industri sukan. Mereka berada di dalam ‘sports bubble’ dengan izin, gelembung sukan mereka sendiri. Mereka dikuarantin, mereka menjalani ujian saringan, dan mereka dikehendaki untuk mematuhi SOP yang ketat.
Berbeza dengan industri hiburan. Saya tidak nampak, para penghibur menjalani ujian swab sebelum mereka perlu membuat persembahan atau menghadiri program. Malah, jumlah mereka yang terlibat dengan penganjuran anugerah itu lebih besar berbanding dengan jumlah pegawai, pemain, dan krew produksi di dalam satu-satu perlawanan bola sepak. Jika kita mahu bicara soal periuk nasi para penghibur dan krew produksi, jangan kita turut abaikan mereka yang berada di dalam industri sukan.
Saya ulang, berbeza dengan industri sukan. Sukan bukan hanya sekadar tentang atlit. Ianya lebih dari itu. Ia melibatkan pegawai pasukan, jurulatih, pegawai perubatan, kitman dan ramai lagi yang mungkin pekerjaan mereka sudah pun terjejas dan berdepan risiko dibuang sekaligus boleh menyebabkan industri itu gulung tikar.
Nilai sumbangan industri sukan kepada KDNK Negara pernah mencecah RM101 juta pada 2018 bersamaan 7.00% daripada KDNK. Apakah itu bukan nilai yang cukup besar? Percayalah, industri sukan sangat-sangat dekat di hati rakyat. Ramai yang menyara kehidupan mereka melalui sukan. Ramai yang menjadikan sukan sebahagian daripada gaya hidup mereka.
Mereka melepaskan tekanan melalui sukan. Ramai yang datang kepada saya dan meluahkan mereka menghidap masalah kesihatan mental dan sukan berjaya mengubah hidup mereka. Tetapi tidak lagi sekarang. Mereka tidak boleh bersukan dan menyaksikan acara sukan tempatan.
Sesuatu perlu dilakukan. Badminton Terbuka Malaysia 2021, Badminton Malaysia Masters 2021 dan pelbagai kejohanan yang boleh menyumbang mata ranking untuk atlit layak ke Sukan Olimpik Tokyo wajar diadakan. Kejohanan sukan lain seperti bola sepak, hoki, sepak takraw, permotoran, ragbi, berbasikal perlu diadakan dengan norma baharu tanpa melupakan pertandingan peringkat MSSD, MSSN dan MSSM.
Ia bukannya sekadar soal kerjaya dan masa depan atlit, tetapi ia melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang bergantung harap kepada industri sukan seperti pengusaha padang bola, futsal, badminton, hoki, ragbi dan lain-lain termasuk para peniaga makanan dan pakaian yang sering memeriahkan suasana di stadium dan gelanggang sukan. Bertindaklah segera.
No Comments