Dua Seri Satu Tewas Tutup Aksi Persahabatan Skuad B-21 Lelaki di China

Skuad Bawah 21 lelaki negara menamatkan siri perlawanan persahabatan pendek yang telah diatur bermula Khamis lalu dan tamat hari ini di Dalian China dengan keputusan penuh menyaksikan dua seri dan satu kekalahan dicatatkan secara keseluruhan oleh mereka.

Pertemuan dengan Dalian Province menyaksikan skuad muda negara tewas 0-3 pada aksi pertama pada khamis lalu dan bangkit untuk mencatatkan keputusan seri 3-3 pada aksi kedua semalam selain keputusan yang sama 3-3 turut dicatatkan hari ini.

Pada aksi kedua yang menyaksikan Malaysia mengikat Dalian Province 3-3, Muhammad Nur Asyraf Ishak menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti sementara Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhajir Abdu Rauf menyumbang gol menerusi gerakan padang.

Bagi pertemuan hari ini, giliran Muhammad Shafiq Hassan untuk menyumbang gol menerusi pukulan sudut penalti dan dua jaringan padang terhasil menerusi gol Muhammad Hafizhuddin Zaid serta Shello Silverius untuk mengikat lawan 3-3 bagi aksi terakhir.

Pengendali skuad B-21 negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin melihat siri persahabatan ini berjaya untuk meningkatkan lagi persefahaman pemain di atas padang serta kepercayaan di antara satu sama lain yang pastinya akan digunakan sebagai bekalan untuk ke Piala Sultan Johor 2018.

“Selepas ketiadaan tujuh pemain yang menyertai skuad Sukan Olimpik Remaja 2018 nampaknya pemain yang dipanggil untuk mengisi tempat mereka telah berjaya untuk mendapatkan persefahaman yang cukup baik dengan pemain lain dan juga persefahaman untuk beraksi sebagai satu pasukan.

“Apa yang saya lihat aksi persahabatan ini juga telah meningkatkan lagi sikap kepercayaan di antara pemain untuk mereka bawa ke Piala Sultan Johor yang akan bermula 6 Oktober ini,” ulas Saiful Zaini ketika dihubungi.

Skuad B-21 negara di jangka tiba di tanah air pada 1 Oktober jam 4 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan akan bertolak ke Johor Bharu sehari kemudian bagi menggalas tugas di Piala Sultan Johor 2018.

No Comments

Post A Comment