12 Nov Piala Dunia 2018: Senarai Pemain ke India Di Umum
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menerusi satu sidang media yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil telah mengumumkan senarai 18 pemain yang akan menggalas tanggungjawab bagi mencabar pasukan handalan dunia di Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 Bhubaneswar India yang akan membuka tirai dari 28 November hingga 16 Disember 2018.
Menerusi senarai yang telah dikeluarkan, pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim yang sebelum ini dibelenggu masalah hamstring, kembali berkhidmat kepada negara selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut selain turut dapat dilihat kembalinya Mohd Fitri Saari menyertai pasukan yang pastinya akan membantu memperkuatkan lagi jentera tengah negara.
Turut berada di dalam senarai kem Malaysia ke India ialah penjaga gol utama negara, Kumar Subramaniam yang sebelum ini turut terpalit dengan masalah kecederaan tangannya selain di bahagian serangan Muhamad Ramadan Rosli, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Norsyafiq Sumantri diberikan kepercayaan bagi membantu Malaysia.
Malaysia yang diletakkan di dalam Kumpulan D bersama Jerman, Belanda, dan Pakistan dijadualkan akan membuka tirai saingan Piala Dunia 2018 pada 1 Disember (7.30 malam waktu Malaysia) bertemu Belanda diikuti bertemu Pakistan pada 5 Disember (9.30 malam waktu Malaysia) dan aksi terakhir kumpulan menyaksikan Malaysia akan berdepan Jerman pada 9 Disember 2018 jam 7.30 malam waktu Malaysia.
Selain dari itu, tiga perlawanan ujian antarabangsa (International Test Match) bertemu New Zealand diatur bagi memastikan Malaysian Tigers mendapat persediaan secukupnya sebelum berlepas ke India dan pertemuan dengan The Black Sticks akan berlangsung pada 16, 20 dan 22 November 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Skuad negara dijadualkan berlepas ke India pada 25 November dan untuk rekod edisi 2018 merupakan pentas Piala Dunia kelapan (1973, 1975, 1978, 1982, 1998, 2002, dan 2014) skuad negara dan pencapaian terbaik Malaysia adalah berada di kedudukan keempat pada tahun 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah selain kedudukan kelapan pada tahun 2002.
Berikut merupakan senarai 18 pemain yang akan menggalas misi di Bhubaneswar India:
- Kumar Subramaniam
- Muhammad Hairi Bin Abd Rahman
- Mohamad Sukri Bin Abdul Mutalib (Kapten)
- Muhammad Razie Bin Abd Rahim
- Syed Mohamad Syafiq Bin Syed Cholan
- Faiz Helmi Bin Jali
- Muhammad Azri Bin Hassan
- Nabil Fiqri Bin Mohd Noor
- Muhammad Marhan Bin Jalil
- Mohd Fitri Bin Saari
- Meor Muhamad Azuan Bin Hassan
- Joel Samuel Van Huizen
- Tengku Ahmad Tajuddin Bin Tengku Abdul Jalil
- Muhammad Firhan Bin Ashari
- Faizal Bin Saari
- Nik Muhammad Aiman Bin Nik Rozemi
- Norsyafiq Bin Sumantri
- Muhamad Ramadan Bin Rosli
Jadual perlawanan persahabatan bertemu New Zealand di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan 1: Khamis, 16 November 2018, jam 5.00 petang
Perlawanan 2: Selasa, 20 November 2018, jam 6.00 petang
Perlawanan 3: Khamis, 22 November 2018, jam 6.00 Petang
No Comments