Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad Wanita Belasah Hong Kong, China

Skuad hoki wanita bawah 18 tahun memulakan kempen kelayakan Sukan Olimpik 2018 Asia (5 Sebelah) dengan langkah kanan apabila membelasah Hong Kong, China 10-1 pada perlawanan pembukaan kumpulan A yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit, Bangkok Thailand, hari ini.

Dalam perlawanan yang menggunakan format 30 minit dan 10 minit bagi setiap suku, jaringan skuad negara diledak oleh Putri Nur Batrisyia Nornawawi (m’1, dan m’23), Siti Zulaika Hussin (m’4, m’8 dan m’18), Nurmaizatul Hanim Syafi (m’5, m’11 dan m’28) serta Siti Nur Arfah Mohd Nor (m’19 dan m’20).

Pengendali skuad wanita, Yahya Atan nyata berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya selain menganggap kemenangan 10-1 sebagai pembakar semangat terbaik untuk mereka meneruskan kempen kelayakan.

“Pemain-pemain berjaya untuk mengikuti konsep permainan dan ilmu yang telah diturunkan kepada mereka jadi ia sesuatu yang cukup baik selain kemenangan perlawanan pertama akan menaikkan tahap keyakinan pemain untuk meneruskan perlawanan.

“Saya cukup berpuas hati dengan keputusan perlawanan pertama dan yang paling penting kami berjaya untuk mendapatkan tiga mata pertama yang bagi saya ia cukup berharga,” jelasnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu menjelang perlawanan kedua bertemu China esok, Yahya menyifatkan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki selain mereka akan terus mempersiapkan pasukan dengan lebih rapi.

“Esok kami akan bertemu China dan kami perlu melakukan persediaan yang lebih rapi selain kami perlu memperbaiki beberapa kelemahan seperti cara bertahan di mana apabila penyerang hilang bola, bagaimana pemain pertahanan perlu bertindak untuk mengawal keadaan,” jelasnya lagi.

Esok, Khamis (26. April. 2018) skuad wanita akan melalui dua perlawanan dimana turun menentang China pada jam 10 pagi waktu Malaysia dan akan turun satu lagi perlawanan pada sebelah petang, jam 6 petang waktu Malaysia menentang Chinese Taipei.

No Comments

Post A Comment