PENANTIAN 27 tahun terlerai buat ATM, muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia

PENANTIAN 27 tahun akhirnya terlerai buat Angkatan Tentera Malaysia apabila juara Liga Perdana itu muncul pasukan pertama mara ke suku akhir selepas menyingkirkan finalis tahun lalu, Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Diundi dalam kumpulan sukar bersama juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan, naib juara musim lalu, Terengganu dan  pemenang empat kali, Kedah, tidak ramai pemerhati yang meletakkan harapan tinggi kepada pendatang baru Liga Super itu untuk mara, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila barisan bimbingan B Sathianathan jauh meninggalkan pesaing mereka yang lebih ternama.

Meskipun dibelenggu tajuk negatif akhbar sepanjang minggu ini, ATM tetap berwaspada dengan ancaman Terengganu yang menurunkan muka-muka baru, menggantikan Muslim Ahmad, Ismail Faruqi dan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee.

Mohd Sharmiza yang mengambil alih tempat Sharbinee, bertindak cemerlang untuk menafikan Marlon Alex James pada minit ke-12, namun dia tidak dapat menghalang penyerang tinggi lampai St Vincent & Grenadines itu meraih gol keenamnya dalam kempen ini pada minit ke-74.

Rakan import, Bruno Sebastian Martelotto meledakkan jaringan pertamanya dalam Piala Malaysia tiga minit sebelum tamat untuk melengkapkan malam gemilang buat pelawat yang membuat penampilan pertama mereka dalam peringkat kalah mati sejak 1985.

Bagi Sathia, dengan tercapainya sasaran minimum yang ditetapkan pengurusan, ATM kini memasang impian untuk mara ke peringkat final seperti yang pernah mereka lakukan pada 1949 dan 1966.

“Tidak ramai yang memberikan kami peluang untuk mara ke suku akhir melihatkan kami adalah pasukan tunggal Liga Perdana dalam kumpulan ini. Namun kami berjaya melakukannya dengan menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir  dan kini kami mensasarkan untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya.

Dengan Kedah dan Kelantan sekadar terikat tanpa jaringan di Stadium Darulaman, kemenangan 2-0 ATM ke atas pasukan yang dibelenggu kemelut dalaman meletakkan ATM di kedudukan selesa Kumpulan B, bermaharajalela di persada dengan kelebihan dua mata ke atas Kelantan dan lima mata berbanding Kedah di tempat ketiga.

Seandainya tewas pada baki perlawanan terakhir menentang Kedah (14 September) sekali pun, ATM tetap akan layak sebagai salah satu daripada dua pasukan teratas. Kelantan hanya perlu seri pada pertembungan terakhir menentang Terengganu.

Kegagalan untuk mendapatkan keputusan positif ke atas Sang Penyu yang sudah tersingkir akan membuka ruang buat Kedah yang perlu menewaskan ATM sambil mengharapkan ihsan Terengganu menundukkan Kelantan dengan jumlah jaringan besar.

No Comments

Post A Comment