KEJOHANAN MCKK PREMIER 7s 2020 EDISI KE-10 MEMBUKA TIRAI DENGAN MERIAH

KUALA KANGSAR (28 FEBRUARI): Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s edisi ke-10 yang bermula secara rasmi hari ini masih meriah meskipun tanpa penyertaan daripada pasukan luar negara bagi merebut trofi NJ Ryan tahun ini.

 

Tiga pasukan dari luar negara yang mengesahkan penyertaan dari tiga negara Asean ini, iaitu Kolej Vajiravudh dari Thailand, Sekolah Antarabangsa Jerudong, Brunei dan wakil Indonesia, Sekolah Menengah Atas Darunnajah tidak dapat menyertai kejohanan ini pada saat akhir kerana penularan wabak COVID-19 ketika ini.

 

Pengarah kejohanan, Amrol Hazarin Hamidon mengakui kejohanan kali ini masih lagi istimewa memandangkan ia adalah edisi yang ke-10 dianjurkan sejak 2011.

 

“Saya masih lagi berpuas hati dengan Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s edisi kali ini meskipun harus diakui ada perancangan yang gagal selain ada penambahbaikan yang positif.

 

“Sebagai rekod, kami selaku penganjur mahukan enam pasukan antarabangsa untuk edisi kali ini tetapi hanya lima yang mengesahkan penyertaan sebelum dua pasukan menarik diri dari Hong Kong dan Singapura pada awal bulan ini.

 

“Tiga pasukan lagi daripada Indonesia, Brunei dan Singapura turut menarik diri pada minggu lalu kerana penularan virus COVID-19 ketika ini. 

 

“Namun, ia tidak merencatkan perancangan kami kerana dapat menggantikan posisi yang kosong dengan pasukan tempatan sepenuhnya.

 

“Selain itu, ada pembaharuan yang sangat menarik pada edisi kali ini yang mana kami mempunyai paparan skrin LED untuk menunjukkan keputusan semasa dan waktu perlawanan.

 

“Melihat kepada sambutan dan kehadiran penonton yang cukup menggalakkan hari ini, saya jangka pada esok dan Ahad akan lebih meriah,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Untuk saingan hari pertama hari ini, pasukan tuan rumah, MCKK berjaya melakar kemenangan bergaya 31-12 ke atas SMK ABI untuk aksi pembukaan Kumpulan C.

No Comments

Post A Comment